Saturday, December 26, 2009

Sifat-sifat yang perlu ada pada seorang Pemimpin/Pendakwah

Banyak masa dihabiskan pada cuti semester ini dengan membelek pelbagai buku dan artikel. Mungkin tidak banyak aktiviti luar tambahan pula cuaca tidak mengizinkan. Sebelum cuti lalu, seorang sahabat telah meminjamkan bukunya. Seorang yang saya kira tak pernah luntur semangat dakwahnya. Walau kami berbeza aliran namun beliau tidak lokek dalam menyampaikan ilmu dan informasi yang bermanfaat kepada saya. Beliau banyak mendedahkan diri saya ke jalan dakwah.

Petikan yang saya dapat kongsi daripada buku dari sahabat saya itu berkaitan sifat-sifat yang perlu ada pada setiap pemimpin. Saya kira tidak terkelaluan jika saya kaitkan pemimpin itu juga bertanggungjawab sebagai seorang pendakwah. Pemimpin bukan sahaja dikaitkan dengan seorang ketua yang berpengaruh kuat dalam satu kumpulan yang besar. Namun, ia boleh dikira sebagai pemimpin juga jika seseorang bisa mengutuskan keputusan yang kecil tapi manfaat pada banyak pihak.

Baiklah. Petikan daripada penulisan Fathy Yakan melalui bukunya “Musykilat ad-Da’wah wad Da’iyah- Masalah Dakwah Dan Pendakwah tentang kepimpinan, tanggungjawab dan sifat-sifat yang perlu ada padanya.” Antaranya:-

a) Mengenali Dakwah
Mengenali dakwah secara sempurna dan mengambil tahu secara sungguh-sungguh perkara yang berkaitan dengan pemikiran dakwah, arahan dan pentadbirannya. Meneliti kegiatan dan mengetahui segala program dan tindakannya.

Jaminan kejayaan pimpinan bergantung pada rapatnya barisan pimpinan, bergerak bersama dengan kumpulan dan tidak mengasingkan diri. Tanggungjawab pimpinan menghendaki supaya sentiasa berhubung barisan dakwah (junud), mengetahui masalah mereka serta mengetahui pemikiran mereka. Ia dapat memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak.

b) Mengenal Diri
Seorang pemimpin wajib mengetahui tempat-tempat kekuatan dan kelemahan dalam dirinya. Jika tidak, mungkin akan membawa dakwahnya ke arah kemudaratan. Dengan sebab itu seorang pemimpin mestilah mempunyai sifat-sifat berikut:

i. Mengetahui sudut-sudut kelemahan dan berusaha memperkuatkannya.
ii. Mengenali sudut kekuatan dan berusaha untuk menggerak serta menyuburkannya.
iii. Mengambil berat mengembangkan ilmu dan membaca pendapat2, pemikiran2 politik, kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya.
iv. Mengambil berat mengenali tokoh-tokoh pemimpin Islam dan lainnya, di samping berusaha mengetahui cara-cara pimpinan mereka serta factor-faktor kejayaan atau kegagalan mereka.

c) Mengambil Berat Tentang Ahli
Pemimpin mestilah bertindak mengambil berat tentang ahli, cuba mengetahui mereka secara sungguh2, mengikut keadaan hidup dan kedudukan mereka, bersimpati dengan mereka, bekerja menyelesaikan masalah mereka, membantu kemantapan ahli dan mengukuhkan kepercayaan mereka.

d) Teladan Yang Baik
Menjadikan pemimpin sebagai contoh dan teladan untuk menjejak langkahnya. Sesunguhnya Rasulullah s.a.w. adalah menjadi teladan kepada para sahabatnya:

Firman Allah:

لقدكان لكم في رسول الله اسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الاخروذكرالله كثيرا

Bermaksud : “Sesunggunhya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharapkan (Rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut (nama) Allah”. [al-Ahzab:21]

e) Mempunyai Pandangan Yang Mantap
Keupayaan seorang pemimpin bertindak segera, tepat dan dapat menyelesaikan masalah dalam semua suasana dan keadaan dengan sendirinya mendapat penilaian dan kepercayaan dari ahli.

Tetapi sebaliknya pemimpin yang tidak tegas dan teragak-teragak akan menyebabkan timbul keadaan kucar-kacir, kurang kepercayaan dan kurang berkesannya kepimpinan mereka. Apa yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w adalah benar. Baginda pernah mengatakan:

((ان الله يحب البصر الناقد عندورود الشبهات والعقل الكامل عند هجوم الشهةوات))

"Sesungguhnya Allah kasih kepada penglihatan yang tajam di ketika berlaku kesamaran dan Allah sukakan ‘aqal yang sempurna yang dapat menahan serangan nafsu”.

f) Keazaman Yang Kuat
Kekuataan kehendak atau azam adalah menjadi salah satu rukun keperibadian pemimpin. Dengan adanya keazaman itu adalah mereka menyelesaikan persoalan dan perkara-perkara yang susah. Sejarah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Islam zaman kini sangat perlu mempunyai keazaman ini bagi menghadapi segala ujian dan bencana.

g) Daya Tarikan Semulajadi
Jika seseorang pemimpin dapat menarik orang remain tanpa menggunakan paksaan, maka itu adalah merupakan suatu perkara yang amat baik. Sekiranya seseorang pemimpin mempunyai sifat ini maka bermakna dia memiliki suatu peribadi terpenting dalam binaan keperibadian pemimpin.

h) Penuh Yakin
Sifat ini merupakan sifat yang terpenting yang perlu ada pada pemimpin. Seorang pemimpin mesti sentiasa berkeyakinan dan berlapang dada.

Sikap putus asa adalah menjadi factor utama kemusnahan hidup individu dan masyarakat. “Putus asa” tidak boleh sesekali-kali dipandang baik. Perasaan punya “harapan” tidak boleh dipandang remeh. “Harapan” juga jangan diletakkan di bawah kongkongan perasaan tetapi mesti disamakan dengan ‘aqal dan takdir.

Pimpinan adalah ketua rombongan dan kesannya ke atas “barisan” sangat mendalam. Jika ia mundur dan putus asa, barisan jua begitu. Perkara yang sebaliknya akan berlaku jika pemimpin maju kehadapan.

1 comments:

Anonymous said...

Salam..sudah sememangnya sebagai seorang pemimpin kita perlu menadi contoh dan teladan yang baik.Umur bukan tali pengukur yang akan menyebabkan kita berptus asa dan tegas serta mengambil pendapat serta sumbangsaran dari pelbagai pihak serta lapisan masyarakat yang bernaung dibawah pimpinan kita,...Wallahu A'lam..Salam Ukhuwah Islamiayah dari saya Zulhilmi Bakri...

Post a Comment