Thursday, May 13, 2010

KASIH DIUJI


Nabi Ayub terkenal kerana sikap tabah dan cekal. Walaupun menanggung derita penyakit kulit yang menjijikan mata yang melihat, namun, beliau tetap setia mendekatkan dirinya kepada Allah tanpa mengeluh, apatah lagi merungut.

Iblis kecewa kerana usahanya gagal. Lalu, sasaran seterusnya ditujukan pula kepada Rahmah, isteri Nabi Ayub. Bisikan demi bisikan ditujukan kepada Rahmah. Dari sehari ke sehari hati Rahmah mula gundah dan resah. Segala harta benda yang musnah, anak-anak yang terkorban diungkit. “Sekiranya harta benda dan anak-anak kita masih ada, tidaklah begini derita yang kita tanggung,” keluh Rahmah. “Bilakah Allah menghentikan seksaan azab pada kita ini?”

Alangkah terperanjat Nabi Ayub mendengar kata-kata keluhan isterinya. “Sejak bilakah hati adinda berubah?” Bukankah dinda seorang yang teguh imannya?”

Nabi Ayub hanya mampu terlantar di pangking. Beliau merenung wajah isterinya yang penuh kegusaran.

“Allah kurniakan nikmat dalam waktu yang begitu panjang. Patutkah kita mengeluh menghadapi ujian yang hanya beberapa ketika ini?”

“Sekiranya hati dinda mula goncang, mulai saat ini kanda tidak mahu menerima layanan dinda lagi walau hanya seteguk air. Pergilah dari sini. Tinggalkan kanda sendirian!” Nabi Ayub semakin marah pada isterinya.

Rahmah masih membisu. Air matanya mengalir.

“Kanda berjanji apabila pulih daripada penyakit ini, kanda akan pukul dinda sebanyak seratus kali sebagai hukuman atas kelemahan iman dinda. Pergi!”

Perasaan Rahmah bercampur baur. Dia melangkah meninggalkan suaminya sambil mengisi keterlanjuran kata-katanya. Kakinya terus melangkah di tengah padang pasir sehingga letih. Selepas jauh berjalan, Rahmah mula merindui suami yang ditinggalkannya.

Rahmah berjalan pulang mendapatkan suaminya semula. Walaupun dia mengetahui hukuman yang akan menimpanya. Sepanjang perjalanan pulang, hatinya berdebar-debar memikirkan penerimaan suaminya kelak. Apabila tiba di hadapan rumah. Rahmah terkejut. “Bukankah ini rumahnya?”

Matanya meliar mencari-cari suaminya yang tidak kelihatan. Tiba-tiba, di hadapannya seorang lelaki tampan memerhatikannya sambil tersenyum.

Rahmah kaget.

“Mengapa dinda kebingungan? Sayalah suami kamu.” Nabi Ayub menyapanya.

Tanpa membuang masa, Rahmah menerpa mendapatkan suaminya. Dia meratap, menangisi serta memohon maaf atas kesalahan dan dosa-dosanya.

“Janganlah mengangis lagi. Ujian kita sudah selesai dan kita lulus,” Nabi Ayub memujuk isterinya.

“Benarkah begitu?” Rahmah bertanya.

“Ya. Lihatlah tubuh kanda. Kanda sudah sihat dan bertenaga,” kata Nabi Ayub tersenyum.

Pada masa itu, Nabi Ayub teringat akan janjinya kepada isterinya. Namun, apabila melihat keadaan isterinya yang lemah, kurus dan tidak bermaya, dia tidak sampai hati. Sekiranya dipukul seratus kali, tentu isterinya mati atau separuh mati.

Nabi Ayub menadah tangan berdoa kepada Allah. Pada saat itu, Allah berkata, “Ambil serangkai rumput kering dan pukul isteri kamu.tidaklah engkau melanggar janji.”

Nabi Ayub mengumpul seratus tangkai rumput kering dan diikat. Lalu dipukul isterinya dengan seratus kali pukulan. Tertunai sudah janjinya.

0 comments:

Post a Comment